Sunday, October 21, 2018

BBM 3410/18 Jenis Kritikan

Assalamualaikum....

Aku nak cerita ada ke minor aku kena ambil kritikan dalam kesusteraan...

Jenuhlah aku belajar...

Tapi bolehlah aku belajar...

Aku bagi contoh jenis-jenis kritikan yang ada...

Ini semua dari tugasan yang aku buat dulu....


Nyatakan jenis kritikan dalam Kesusasteraan Melayu.

     Kritikan kesusasteraan bermakna suatu usaha untuk menilai hasil karya seseorang sasterawan dengan alasan yang kukuh dan bersistematik dalam memperkembangkan sesuatu yang baik. Terdapat beberapa jenis kritikan dalam kesusasteraan Melayu iaitu kritikan sanjungan, kritikan teguran, kritikan penganalisisan, kritikan penilaian, kritikan saranan dan kritikan pendekatan.

   Kritikan sanjungan adalah perbuatan memuji seseorang pengarang dan karyanya yang menampilkan pemikirannya yang bernas. Sanjungan juga bermaksud menghargai, meletakkan sesuatu pada tempatnya yang mulia. Dalam kritikan sanjungan, pengkritik melihat pengarang mempunyai keupayaan dalam menampilkan elemen dalaman karya yang baik dan menarik. Elemen dalaman karya yang baik membolehkan pengkritik melakukan kritikan dan memuji pengarang berdasarkan karya yang telah dihasilkan. Pengkritik secara umumnya melihat perkara yang baik yang ditonjolkan oleh pengarang. Antara pengkritik yang menggunakan kritikan jenis ini adalah Muhammad Yassin Maamor (Keris Melayu) dan Mohd Yusof Ahmad (Anak Negeri). Namun begitu, kritikan sanjungan ini dapat dilihat dalam esei Othman Puteh iaitu “Pemikiran Dalam Novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman” yang memperlihatkan beliau memuji hasil karya Anwar Ridhwan dengan jelas mengandungi pemikiran yang bernas. Jelaslah, kritikan sanjungan adalah tindakan memuji pengarang dan hasil karyanya yang memaparkan pemikiran yang baik dan bernas.

           Selain itu, kritikan teguran memperlihatkan kekuatan dan kekurangan sesebuah karya sastera oleh pengkritik. Pengkritik akan melihat kepada keseluruhan karya dan membuat kritikan melalui kekuatan dan kekurangan karya tersebut. Kritikan teguran membolehkan pengarang mengambil tindakan dalam menghasilkan karya yang lebih baik pada masa hadapan. Tokoh terawal yang penting dalam kritikan teguran adalah Aminuddin Baki yang memperlihatkan perkembangan kritikan kesusasteraan Melayu. Beliau telah melakukan kritikan terhadap novel Korban Kesucian karya Keris Mas. Dalam kritikannya, beiau telah menyatakan tentang plot cerita bergerak seperti aliran sungai hingga tidak dapat ditentukan pendirian watak-watak dalam novel tersebut. Malah, beliau juga mengkritik penggunaan gaya bahasa iaitu bahasa Inggeris dan menyarankan beberapa cadangan untuk memperbaiki karya tersebut. Jadi, kritikan teguran adalah mengkritik karya dari aspek kekuatan dan kelemahan.

             Seterusnya, kritikan penganalisisan tergolong dalam jenis kritikan. Dalam hal ini, kritikan penganalisisan mempunyai maksud pengkritik meneliti secara mendalam sesebuah karya sastera untuk memperoleh maklumat. Antara maklumat itu adalah pemikiran, teknik penceritaan, tema, persoalan bagi meneliti mutu karya sastera yang dihasilkan. Oleh itu, pengkritik seharusnya menguasai bidang dan teori yang hendak diaplikasikan dalam membuat kritikan. Pengkritik perlu benar-benar memahami perkara yang hendak disampaikan dan keadaan itu membolehkan pengkritik menghasilkan kritikan dengan baik. Hal ini kerana kritikan ini memerlukan penguasaan yang mendalam terhadap karya yang dihasilkan oleh pengarang. Ketika menganalisis, pengkritik akan melihat sesuatu aspek secara rinci tentang bahasa figuratif, permulaan dan pengakhiran sesebuah cereka, motif, citra, watak, pemikiran, perlambangan, nilai, sudut pandangan, aliran dan ideologi yang menyerlah dalam karya sastera. Sebagai contoh, Ungku Maimunah Tahir telah mengkritik novel “Tivi” karya Shahnon Ahmad dan menganalisis menggunakan gagasan Persuratan Baru. Dengan itu, kritikan penganalisisan menuntut pengkritik untuk melakukan usaha dengan mendalami teori yang akan digunakan,

                Di samping itu, jenis kritikan kesusasteraan adalah kritikan penilaian. Pengkritik akan menilai sesebuah karya sastera iaitu melihat dari isi atau mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang. Keadaan ini memerlukan pengkritik melihat keistimewaan dan kekurangan karya tersebut. Pengkritik harus adil dan saksama serta mengemukakan hujah yang relevan dan konkrit sebelum memberikan justifikasinya. Pengkritik memberikan hujah supaya keadilan dapat diperlihatkan dan untuk mengelakkan pengkritik berat sebelah dalam melakukan penilaian. Misalnya, novel Salina hasil karya A. Samad Said merupakan sebuah novel yang istimewa tetapi tidak cukup menawan dan keseluruhannya novel ini tidak mencapai mutu sastera yang agung. Oleh itu, kritikan penilaian memaparkan pengkritik menilai karya dari segi isi atau mesej yang hendak diutarakan.

                Kritikan saranan juga adalah sebahagian daripada kritikan kesusasteraan. Kritikan saranan bermaksud cadangan sesuatu perkara dalam sesebuah karya sastera untuk dimantapkan. Pengkritik mencadangkan kepada pengarang dalam melakukan penambahbaikan terhadap karya yang dihasilkan. Misalnya, pengkritik akan memberikan cadangan terhadap usaha memantapkan pemikiran, persoalan, tema, teknik penceritaan dan watak perwatakan dalam sesebuah karya sastera. Menurut Othman Puteh, kritikan Aminuddin Baki terhadap novel Korban Kesucian karya Keris Mas menepati kehendak kritikan saranan. Malah, memberi teguran dan saranan positif tentang unsur kreatif seperti gaya bahasa, plot, teknik, watak dan perwatakan. Kritikan saranan dilakukan untuk memperbaiki karya agar lebih berjaya. Dengan itu, kritikan saranan adalah pengkritik memberikan cadangan untuk pengarang memantapkan karyanya.

                Akhir sekali, kritikan pendekatan terbahagi kepada dua iaitu pendekatan intrinsik dan pendekatan ekstrinsik. Pendekatan intrinsik merupakan pendekatan terhadap karya sastera dengan menerapkan teori dan kaedah sastera berpandukan kepada karya sastera. Unsur-unsur dalaman yang akan dikritik adalah plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan dan gaya bahasa. Manakala pendekatan ekstrinsik pula adalah pendekatan karya sastera dengan memanfaatkan ilmu bantu bukan sastera seperti sejarah, agama, psikologi, politik, dan sosiologi. Antara pendekatan yang digunakan dalam kritikan ini adalah pendekatan moral, pendekatan psikologi, pendekatan sosiologi dan lain-lain. Sebagai contoh, pendekatan sosiologi digunakan oleh pengkritik dalam sesebuah karya untuk melihat kepada masyarakat iaitu dengan tiga prinsip utama; karya sebagai cerminan masyarakat, karya sebagai dokumentasi sosial dan protes sosial. Maka, jelaslah kritikan pendekatan melihat kepada aspek dalaman dan aspek luaran karya sastera.

                Kesimpulannya, bidang kritikan kesusasteraan sangat penting terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu tanah air. Jenis kritikan kesusasteraan terdiri daripada kritikan sanjungan, kritikan teguran, kritikan penganalisisan, kritikan penilaian, kritikan saranan dan kritikan pendekatan. 





2 comments:

  1. Replies
    1. ceritanya saya pendam dalam diri, sukar untuk diceritakan bersama. Cukup sekadar asasnya....

      Delete